Ahad, 22 Januari 2012

APAKAH BEKAM

KEINGINAN untuk hidup sihat dan kelihatan cantik menyebabkan manusia berikhtiar dengan pelbagai cara untuk mencapai matlamat itu. Tidak cukup dengan perubatan moden, perubatan tradisional atau alternatif turut menjadi pilihan.Antara kaedah yang sudah lama wujud di negara ini, tetapi tidak begitu mendapat perhatian masyarakat ialah bekam.
Apakah bekam? Ia adalah proses membuang darah toksik dari dalam tubuh melalui permukaan kulit sebagai organ terbesar manusia.
Bekam dikatakan teknik detoksifikasi yang berkesan dan dapat merawat pelbagai penyakit dan memulihkan fungsi tubuh.
Teknik ini dikatakan berasal dari China sejak 1,500 tahun lalu. Ada juga pendapat menyatakan asal-usul bekam bermula di Timur Tengah dengan masyarakat Arab memanggil teknik ini sebagai al-Hijamah yang bermaksud membuang darah kotor.
Bagaimanapun, sejak sekian lama bekam mempunyai imej negatif bukan saja di negara ini, malah di kebanyakan negara yang mengamalkan teknik ini.
Masih wujud hingga hari ini, pemandangan orang berkerumun di tepi jalan menyaksikan tukang bekam melaksanakan tugas. Pelanggan pula duduk di atas kerusi dengan gelas kaca atau tanduk kerbau melekat pada belakang badan.
Tanpa menghiraukan suasana sesak dan habuk berterbangan, bekam dilabelkan sebagai amalan perubatan tradisional tepi jalan.
Ini menyebabkan bekam sering dipandang serong oleh majoriti masyarakat di negara ini, terutama apabila kemudahan perubatan moden semakin baik dan mudah diperoleh, apatah lagi apabila perubatan tradisional diukur berdasarkan piawaian perubatan moden.
Ketika gambaran ini terpahat kukuh di kalangan masyarakat. Untuk mengubah pandangan negatif ini, teknik bekam dipelbagaikan dengan menggunakan kaedah teknologi moden dan peralatan yang digunakan dibersihkan melalui proses pensterilan selepas digunakan.
Gaya hidup moden dengan pengambilan makanan mengandungi kimia dan pencemaran, kesibukan dan tekanan hidup, menyebabkan darah toksik berkumpul dalam badan hingga menyebabkan tubuh lemah dan lebih mudah dihinggapi penyakit.
Bahagian tubuh yang dipenuhi darah toksik selalunya berasa sakit, tegang, berdenyut, tidak selesa dan ketika rawatan, darah toksik pada badan yang sakit dikeluarkan. Apabila selesai, simptom penyakit akan mulai reda dan fungsi tubuh kembali kepada sepatutnya. Dalam jangka masa singkat, bekam memperbaiki dan menjadikan tubuh lebih sihat.
Mengapa berbekam menjadi pilihan? Kajian mendapati bahawa berbekam mempunyai kaitan rapat dengan umat Islam.
“Orang Cina berbangga dengan akupuntur dan India dengan Ayurveda, tetapi orang Islam? Tidak ada apa yang boleh dibanggakan hingga saya mengetahui bahawa bekam sebenarnya diamalkan oleh Rasulullah.
Malah, dalam hadis qudsi yang diriwayatkan oleh al-Tarmizi menyatakan ketika Nabi Muhammad dalam perjalanan Israk Mikraj, Baginda menemui malaikat yang menyuruh umat Islam menggunakan bekam untuk tujuan kesihatan.
Nabi Muhammad juga diriwayatkan berbekam di atas kepala dan antara dua bahu, sekali gus menunjukkan berbekam mempunyai banyak manfaat.
Ada yang mendakwa bahawa berbekam boleh menyebabkan ketagihan. Selepas berbekam, seseorang itu berasa hendak dibekam lagi. Sebenarnya tanggapan ini salah kerana toksik terus bertambah dalam tubuh jika gaya hidup tidak sihat, pemakanan tidak seimbang dan hidup dalam tekanan.
Ini yang menyebabkan keperluan berbekam kepada individu. Ada yang perlu kerap dan ada yang mungkin sebulan sekali.
Melalui imej positif seperti menggunakan teknik moden yang selamat, bekam akan diterima masyarakat.